Assalamualaikum dan hai kepada semua pembaca blog saya...! Kita bersua lagi di entri yang terbaru di blog saya. Setelah drama "Sweetie Nanie" melabuhkan tirainya minggu lepas, kini drama "Mr Donat Karamel" menghiasi kaca televisyen di slot yang sama. Drama "Mr Donat Karamel" ini ditayangkan di slot Lestary di TV3. Saya tidak menafikan, saya juga merupakan salah seorang penonton drama tersebut. Drama bersiri ini diadaptasikan oleh novel dengan tajuk yang sama, karya Hanny Esandra. Saya memang meminati nukilan Hanny Esandra, dan novel ini ialah salah satu daripadanya.
Secara jujur, saya tidak begitu menggemari drama adaptasi novel kerana jalan ceritanya klise dan ala-ala fantasi. Akan tetapi, drama "Mr Donat Karamel" mendapat pengecualian itu. Pada dasarnya, cerita ini sama seperti drama-drama yang ada di Malaysia. Apa kelainan drama ini? Saya melihat keunikan drama ini pada Faiq Faiqal yang sanggup turun pangkat dan menyamar demi memikat Anggun Qairah. Cuba bayangkan, seorang lelaki yang bekerja sebagai CEO sanggup turun pangkat demi menjadi pelayan di kafe kesukaan demi perempuan idamannya! Unik bukan?
|
Novel "Mr Donat Karamel" karya Hanny Esandra (Photo taken from here) |
Drama "Mr Donat Karamel" ini mengisahkan tentang seorang novelis bernama Anggun Qairah yang kerjanya menulis dan makan donat di sebuah kafe. Itulah rutin Anggun tanpa jemu. Di situ, dia mencurahkan ilham dan tenggelam dalam dunia ciptaannya. Dia bertemu dengan Faiq Faiqal dalam satu kemalangan kecil. Habis rosak cermin mata dan komputer riba milik Anggun dalam kemalangan itu. Disebabkan rasa bersalah, Faiq membantu Anggun. Anggun tidak dapat mengecam lelaki yang melanggarnya kerana dia rabun.
Faiq jadi gila bayang kerana Anggun. Faiq sanggup turun jawatan daripada menjadi CEO di Design Dynamic Berhad untuk menjadi pelayan di kafe kesukaan Anggun. Dia menyamar sebagai Rafiqi dan konon-kononnya meminati semua karya garapan Anggun. Walaupun Zhariff ada cuba mengganggu hubungan mereka, namun mereka tetap utuh sehinggalah hari bersejarah mereka. Anggun kecewa apabila mengetahui bahawa Rafiqi itu sebenarnya Faiq. Dia berasa tertipu dengan Faiq. Haa... Nak tahu kisah selanjutnya? Tonton drama bersiri "Mr Donat Karamel" di TV3!
|
Sambil menonton drama ini, bolehlah makan donat karamel...! (Photo taken from here) |
Episod pertama sudah ditayangkan di TV3 semalam. Terlalu awal untuk saya mengulas mengenai drama ini secara keseluruhan. Apa yang saya boleh katakan, saya ketawa terbahak-bahak melihat episod semalam! Drama ini sangat kelakar. Lakonan para pelakon cukup menghiburkan secara semula jadi, tanpa perlu dibuat-buat secara berlebihan. Perkara ini bagus kerana drama ini drama yang "light". Antara babak yang membuatkan saya geli hati ialah ketika Faiq terlanggar Anggun gara-gara terlalu asyik makan pisang goreng dan Redwan mencadangkan untuk Faiq membuang komputer riba Anggun kerana kerosakan tersebut tidak boleh diperbaiki. Boleh saya katakan, saya teruja untuk menonton episod-episod berikutnya!
|
Para pelakon "Mr Donat Karamel" (Photo taken from here) |
Lakonan Hafidz Roshdi sudah ada peningkatan, jika dibandingkan ketika Hafidz berlakon dalam drama "Tundukkan Playboy Itu". Saya rasa Azira Shafinaz agak berbakat dalam lakonan ketika dalam drama "Married Tapi Benci". Dalam drama "Mr Donat Karamel"; Azira membuktikan bahawa Azira bukan sekadar agak berbakat, dia
MEMANG BERBAKAT dalam bidang lakonan. Saya rasa Azira boleh pergi jauh dalam lakonan, tetapi saya harapkan agar Azira kekal dalam De Fam seperti mana Izzue kekal dalam Forteen walaupun sibuk berlakon.
|
Hafidz Roshdi dan Azira Shafinaz (Photo taken from here) |
Syazuwan Hassan dan Mona Allen... Kedua-duanya pendatang baru dalam bidang lakonan. Saya perlu ucapkan syabas buat mereka kerana lakonan mereka tampak semula jadi. Daripada lakonannya dalam drama "Ketupat Palas Mr Handsome" lagi, saya menjangkakan Syazuwan akan menjadi seorang pelakon pelapis yang berjaya jika Syazuwan terus menunjukkan prestasi yang membanggakan dan hindarkan diri dari sebarang gosip liar. Ini kali pertama saya menonton lakonan Mona Allen, dan saya boleh katakan setakat ini lakonan Mona tidak kaku.
|
Mona Allen dan Syazuwan Hassan (Photo taken from here) |
Saya menjadi sedikit gusar akan pemilihan Idris Khan di dalam drama ini. Secara jujur, lakonannya dalam drama "Duda Terlajak Laris" telah berjaya membuatkan saya menutup televisyen. Hmm, tidak mengapalah... Mungkin itu drama pertama lakonan Idris, jadi saya maafkan. Saya berharap agar Idris menebus kembali lakonannya yang kaku itu. Drama ini agak santai, jadi mungkin Idris boleh memberikan lakonan yang lebih baik di dalam drama ini.
|
Idris Khan (Photo taken from here) |
Buat setakat ini, saya boleh katakan saya teruja dan ternanti-nanti episod yang seterusnya. Saya klasifikasikan drama ini sebagai drama yang santai. Drama ini ialah drama bersiri yang saya boleh tonton sambil minum teh o, makan kuih-muih dan bersantai setelah penat bekerja. Walaupun drama ini tidak mencabar para pelakon, tetapi drama ini ialah suatu cabaran untuk para pelakon menjadikan sesebuah adegan itu kelakar tanpa lakonan yang dibuat-buat secara berlebihan.
XOXO, Z
Comments
Post a Comment