aurora borealis

HONEST REVIEW: "Patahnya Sebelah Sayap" (TV3)

Assalamualaikum dan hai kepada semua pembaca blog saya...! Kita bersua lagi di entri yang terbaru di blog saya. Di sana sini, semua orang membicarakan mengenai drama "Patahnya Sebelah Sayap". Saya tidak menafikan, saya juga merupakan salah seorang penonton drama tersebut. Drama "Patahnya Sebelah Sayap" ini ditayangkan di TV3 dalam slot Samarinda. Pada episod permulaannya, saya sejujurnya merasakan drama ini ada persamaan dengan drama Korea bertajuk "Secret Love" (2013). Bagi saya, tidak ada salahnya jika seseorang mengambil inspirasi dari drama luar negara yang berkualiti dan mengolahnya mengikut cita rasa penonton di Malaysia.

Poster drama "Patahnya Sebelah Sayap" (Photo taken from here)

Pada pendapat saya, jalan cerita yang menarik, skrip yang kukuh dan senarai pelakon yang mantap menjadi tunjang kekuatan bagi drama "Patahnya Sebelah Sayap". Jalan ceritanya mudah difahami dan tidak meleret-leret. Skrip juga diolah dengan baik, terutamanya skrip buat watak Alisya (Ummi Nazeera). Para pelakon turut memberikan lakonan yang memang di tahap kelas "A". Saya yang jarang menonton drama di TV3 pun tertarik untuk menonton drama "Patahnya Sebelah Sayap".

Berikut adalah ulasan saya kepada para pelakon drama ini:

1) UMMI NAZEERA (ALISHA)
Ummi Nazeera (Photo taken from here)

Ummi Nazeera memang seorang pelakon yang bukan calang-calang hebatnya. Sebagai seorang peminat lakonan Ummi Nazeera (P.S.: Saya meminati lakonan Ummi dari drama "Nur Kasih"), lakonannya sebagai Alisha memang "hidup". Sehinggakan saya yang menonton ini seperti terbuai bersama emosi Alisha. Alisha gembira, saya tumpang gembira. Alisha marah, saya pun ikut marah. Alisha menangis, saya turut berasa sedih. Kalau boleh, saya pun hendak merasa nasi lemak dan kopi air tangan Alisha. Mesti sedap hingga menjilat jari. Hahaha...

2) AERIL ZAFREL (KUZAIRI @ ABANG MUKA KETAT)
Aeril Zafrel (Photo taken from here)

Aeril Zafrel ialah salah seorang pelakon yang saya rasakan bakatnya di"sekat" oleh David Teo. Bukan niat saya ingin mengutuk David Teo, tetapi saya merasakan bakatnya tidak begitu ditonjolkan ketika bersama Metrowealth. Perkara yang sama turut dialami oleh pelakon Shaheizy Sam. Berbalik kepada Aeril Zafrel, Aeril dilihat semakin menyinar setelah tidak bersama Metrowealth. Gejolak emosi Kuzairi bijak diluahkan oleh Aeril. Aeril pandai mengekspresikan emosi Kuzairi tanpa perlu berlebih-lebihan. Lontaran dialog juga cukup jelas daripada Aeril.

3) IZZUE ISLAM (AMZAR)
Izzue Islam (Photo taken from here)

Sebagai seorang Izzuezerss (ahli kelab peminat Izzue Islam), Izzue memang tidak pernah menghampakan para peminatnya. Bakat lakonan Izzue tidak perlu dipertikaikan lagi. Dari memegang watak orang buta dalam filem "29 Februari" sehingga memegang watak sebagai orang yang boleh melihat alam ghaib dalam filem "Aliff Dalam 7 Dimensi", Izzue ialah seorang pelakon yang serba boleh. Watak Amzar ialah sisi baru seorang Izzue Islam dalam bidang lakonan. Siapa yang tidak rasa menyampah terhadap Amzar dalam drama "Patahnya Sebelah Sayap"? Saya yang mengenali Izzue sebagai seorang pelakon dan penyanyi yang berbudi bahasa serta peramah ini turut membenci watak Amzar!

4) NORMAH DAMANHURI (MAK CIK SALBIAH)
Normah Damanhuri (Photo taken from here)

Normah Damanhuri ialah seorang aktres veteran yang bakatnya tidak dapat disangkal lagi. Berikan apa sahaja watak kepadanya, mesti Aunty Normah (sekadar panggilan untuk menghormati beliau kerana beliau lebih senior dari saya) dapat membawa wataknya dengan baik. Lakonannya sebagai mak cik Salbiah (ibu kepada Amzar) turut menambahkan api kemarahan saya. Sudahlah menuduh Alisha itu bekas banduan walhal anaknya bersalah, kemudian memaksa Amzar untuk memberikan wang kepadanya dalam kadar segera. Sehinggakan Amzar tidak tahu mengenal halal haram dan mengambil rasuah demi ibunya yang tamak harta. Kalau diikutkan hati, memang saya hendak terjun ke dalam kaca televisyen dan mencekik mak cik Salbiah. Jangan khuatir, saya cuma geramkan watak ibu kepada Amzar sahaja. Bukannya Aunty Normah. Apa-apapun, lakonan Aunty Normah memang bertaraf 10 bintang!

Secara keseluruhan, tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa drama "Patahnya Sebelah Sayap" ialah antara drama terbaik pada tahun 2016. Drama ini berada di kelasnya yang tersendiri. Tidak dapat saya nafikan, saya cukup suka melihat keserasian Aeril dan Ummi, walaupun mereka tidak bersentuhan. Keserasian ini mengingatkan saya kepada drama "Mr Boss Miss Stalker" (TV3) dan juga "Hidayahmu Ramadhan" (TV3). Syabas Aeril dan Ummi! Dialog di dalam drama ini juga meninggalkan impak yang besar terhadap para penonton. Para pelakonnya tidak "kayu", sekaligus membuatkan penonton tertunggu-tunggu episod berikutnya. Drama sebeginilah yang patut ada di Malaysia. Drama bersiri yang mencabar para pelakon untuk berada di luar zon selamat. Bukannya drama bersiri dengan tajuk yang meloyakan disertakan bersama lakonan yang dibuat-buat atau "kayu". Buat semua yang terlibat dalam produksi "Patahnya Sebelah Sayap", syabas saya ucapkan.

Sekian sahaja dari saya. Kita berjumpa lagi dalam entri berikutnya.

XOXO, Z

Comments

Popular Posts